Program #JoW Setiu Wetlands Water Heroes
WWF – Malaysia
Tahniah dan syabas kepada 26 orang Water Heroes yang menyertai program #JoW Setiu Wetlands yang julung kalinya diadakan di negeri Terengganu.
Pada hari ketiga yang juga hari terakhir program JoW semalam, Water Heroes telah dibawa melawat Gelam Cure di Kg Padang JeJawi, iaitu projek komuniti berasaskan minyak pati gelam. Di sini, para Water Heroes memperoleh pemahaman mengenai pelbagai manfaat hutan gelam termasuklah untuk kawalan banjir dan sebagai sumber hutan bagi menjana ekonomi komuniti setempat.
Checkpoint seterusnya ialah Kontena Tuntung Kampung Mangkok, di mana mereka mempelajari mengenai hidupan fauna sungai khususnya spesies tuntung dan peranannya sebagai bio-indikator kesihatan sesebuah sungai. Rata-rata peserta begitu teruja dengan maklumat menarik mengenai spesies tuntung dan usaha-usaha pemuliharaan yang dijalankan melalui taklimat oleh WWF-Malaysia.
Program yang julung kali diadakan di negeri Terengganu ini telah menutup tirai pada petang semalam. Terima kasih yang tak terhingga kami ucapkan kepada semua peserta, CIMB Islamic Bank selaku penaja utama, penganjur bersama Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) serta semua pihak yang terlibat.
Harapan kami semoga Water Heroes akan kekal bersemangat untuk meneruskan usaha dan sumbangan ke arah kelestarian sumber air di negeri Terengganu.
Mari sama-sama kita contohi Water Heroes dan ambil tahu di mana punca sebenar sumber air, apa isu dan cabaran pengurusan sumber air, sungai dan kawasan hutan tadahan serta peranan kita untuk memastikan keterjaminan dan kelestarian sumber air kita.