Skip to content Skip to main navigation Skip to footer

Sejarah Penubuhan LAUT

Bagaimana ia bermula

Penubuhan LAUT bermula daripada arahan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kepada Jabatan Bekalan Air Terengganu (JBAT) untuk memelihara sumber air. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri, melalui Jabatan Bekalan Air, telah melihat kepada Enakmen Sungai 1938 untuk menggubal Enakmen Sumber Air Terengganu yang baharu yang ditambah baik dengan perkembangan persekitaran semasa.

Halatuju terbaharu yang Kerajaan Negeri ini adalah berdasarkan perubahan kualiti sumber air negeri yang diamati serta maklumbalas rasmi atau tidak rasmi daripada rakyat Terengganu yang diterima secara berterusan. Oleh itu, Jabatan Bekalan Air yang diteraju oleh Puan Safura Mad Juhari ketika itu mengambil inisiatif mendapatkan panduan daripada badan-badan kawal selia air beberapa buah negeri yang telah ditubuhkan lebih awal. Langkah ini adalah untuk memastikan enakmen yang bakal digubal menggantikan Enakmen Sungai 1938 kelak bersifat lebih holistik, meluas, serta mengambil kira kegunaan sumber air Terengganu pada kadar terkini serta kemungkinan perubahan di masa hadapan.

Proses penggubalan enakmen baharu ini melibatkan konsultasi dan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta daripada pelbagai kepakaran dan bidang kerja seperti pelaksana, penggubal dasar, akademik dan berbagai lagi. Dan hasilnya, Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020, ESAT 2020, telah berjaya digubal dan diluluskan oleh Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 pada 12 Ogos 2020. Pewartaan ESAT 2020 pada 1 Disember 2020 pula telah secara rasmi melahirkan organisasi yang dinamakan Lembaga Sumber Air Terengganu atau lebih dikenali sebagai LAUT.

HALATUJU SETERUSNYA

Pengarah pertama yang memegang tampuk pemerintahan ialah YB Dato’ Mohd Azmi Mohammad Daham (2020-2021), sebelum bertukar kepada YBrs. Puan Safura Mad Juhari (2021-sekarang) . Kedua-dua Pengarah ini telah melakukan sebuah penambahan besar kepada pengoperasian LAUT dan telah membuka laluan untuk LAUT menyampaikan mesej ESAT 2020 kepada seluruh rakyat Terengganu. Bermula dari situ, LAUT telah terus mengorak langkah dan membina imej serta meningkatkan kehadirannya secara tidak berhenti.