PERIHAL NOTIS PEMBERITAHUAN
Pihak Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) sedia maklum isu tular berkenaan Notis Pemberitahuan Pewartaan Dan Tarikh Kuat Kuasa Peraturan- Peraturan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber (Terengganu) 2021 (PPADAPS 2021) yang dikemukakan kepada pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan sumber air.
Sebelum penggubalan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 (ESAT 2020), penguatkuasaan berkaitan aktiviti-aktiviti di sumber air telah diperuntukkan di bawah Enakmen Sungai 1938 (Waters Enactment) dan Enakmen Lalulintas Sungai 1988. Namun begitu wujud keperluan bagi Kerajaan Negeri untuk memperkasakan kedua-dua enakmen tersebut melalui penggubalan ESAT 2020. Selaras dengan tarikh kuat kuasa ESAT 2020 pada 1 Disember 2020, kedua-dua enakmen tersebut telah dimansuhkan.
Notis Pemberitahuan yang diedar kepada semua pihak adalah sebagai pemberitahuan kewujudan ESAT 2020 dan usaha LAUT untuk memberi kesedaran berkenaan komponen ESAT 2020 yang terdiri daripada pelbagai perkara dan tidak hanya meliputi berkenaan pengenaan caj semata-mata. Sebaliknya, peruntukan-peruntukan dalam ESAT 2020 turut mencakupi perkara-perkara seperti larangan untuk melakukan pencemaran, tanggungjawab untuk melaporkan sebarang kemalangan di sumber air (tumpahan minyak, hakisan tebing, kekeruhan air, pembuangan sisa toksik dsb), galakan dalam melaksanakan aktiviti di sumber air secara lestari dan sebagainya.
Notis Pemberitahuan ini telah diedarkan sejak September 2021 sehingga kini kepada semua pihak yang tidak hanya terhad kepada industri komersial sahaja sebaliknya kepada semua pihak yang menjalankan aktiviti di sumber air. Sehingga hari ini mereka yang telah menerima Notis Pemberitahuan ini termasuklah agensi kerajaan dan agensi swasta, pengendali bekalan air, industri pelancongan, perladangan, perindustrian, industri minyak dan gas, akuakultur dan sebagainya.
Walau bagaimanapun pengenaan caj di bawah ESAT 2020 hanya melibatkan industri dan komersial tanpa menjejaskan hak air untuk sara diri. Pengenaan caj kepada pihak tersebut bukanlah bertujuan untuk mengaut keuntungan sebaliknya hasil tersebut akan digunakan kembali oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan sumber air seperti membaiki tebing rosak, menjalankan aktiviti-aktiviti pemantauan dan pengawalan di sumber air, merawat pencemaran sungai agar manfaat sumber air dapat dinikmati oleh banyak pihak dan sebagainya.
Perlu difahami juga LAUT mempunyai peranan yang besar dalam memastikan sumber air yang dibekalkan kepada pengendali bekalan air seperti SATU dan BAKIPC adalah mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti sumber air yang dibekalkan hendaklah mematuhi piawaian air mentah Kementerian Kesihatan Malaysia .
Prihatin dengan keadaan ekonomi semasa, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan subperaturan 15(3) Peraturan-Peraturan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber (Terengganu) 2021 (PPADAPS 20201) di mana Lembaga boleh dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri memberi pengurangan atau mengecualikan apa-apa pembayaran di bawah di bawah Peraturan-Peraturan ini.
Semoga dengan penjelasan ini, semua pihak akan lebih memahami keperluan edaran Notis Pemberitahuan Pewartaan Dan Tarikh Kuat Kuasa Peraturan- Peraturan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber (Terengganu) 2021 oleh Pentadbiran ini kepada pihak yang menjalankan aktiviti berkenaan sumber air.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh
Unit Korporat
b.p. Pengarah Sumber Air Terengganu