Fungsi LAUT
organisasi kami
LAUT adalah sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri Terengganu yang menjalankan fungsi sebagai agensi pelaksana Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 (ESAT 2020). LAUT menguatkuasakan ESAT 2020 serta sebarang peraturan-peraturan yang telah dan bakal digubal mengikut peruntukan enakmen ini.
fungsi kami
Oleh itu, fungsi yang dijalankan oleh LAUT adalah diambil sepenuhnya daripada ESAT 2020. Dalam hal ini, Seksyen 7 enakmen berkenaan ada menggariskan kesemua fungsi-fungsi tersebut.
a) memberi nasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan dasar-dasar sumber air tetapi tidak terhad kepada cara-cara dan langkah-langkah yang hendak diambil untuk menjaga, memelihara dan memudahkan pembangunan mapan, penggunaan dan pemuliharaan sumber air yang efisien bagi maksud awam
b) membangun, melaksana dan menggalakkan projek infrastruktur untuk tujuan pelbagai fungsi
c) mengatur dan mengawal pemindahan air antara lembangan di dalam Negeri
d) membangun dan melaksanakan panduan, standard prestasi, cara-cara dan tatacara berhubungan dengan pengurusan, penggunaan, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air
e) menyelaras perhubungan pelbagai agensi dalam Negeri dan antara negeri-negeri dan menggalakkan kerjasama serta penyelarasan untuk kegunaan sumber air pelbagai fungsi
f) menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, pelan dan projek oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang diarah oleh Pihak Berkuasa Negeri
g) mengendalikan penyelidikan berhubungan dengan pengurusan, penggunaan efisien, pembangunan dan pemuliharaan sumber air dan sumber di dalamnya
h) menyediakan pelan sumber air yang bersepadu antara agensi Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan semua pihak yang berkepentingan
i) mengurus keseimbangan sumber air yang mengambil kira kuantiti dan kualiti
j) membangunkan ekonomi yang berasaskan sumber air atau apa-apa bidang lain yang boleh memberikan hasil bagi kelangsungan Lembaga
k) menyediakan latihan dan mengadakan kemudahan untuk latihan berhubungan dengan fungsi Lembaga
l) menasihati Pihak Berkuasa Negeri berhubungan dengan pengisytiharan kawasan yang ditetapkan dan dilindungi serta merumus dan melaksanakan pelan pembangunan dan pelan pengurusan untuk kawasan-kawasan itu
m) menjaga kepentingan Negeri di dalam hal pembanguna, pengurusan, penggunaan dan pemuliharaan sumber air
n) mengurus dan mengawal pemasangan, pengendalian dan penyelenggaraan tempat-tempat dan peralatan kepunyaan Lembaga
o) menjaga kepentingan pengguna-pengguna air berhubungan dengan kuantiti, kualit dan harga yang akan dikenakan untuk bekalan sumber air
p) menggalakkan penubuhan pertubuhan pemegang kepentingan untuk Lembaga dalam pembangunan dan pemuliharaan sumber air
q) meluluskan lesen kepada mana-mana Pihak Berkuasa Awam atau orang bagi mengusahakan sebarang kegiatan yang berhubungan dengan sumber air dan untuk mengawalselia pemegang-pemegang lesen serta aktiviti-aktivit mereka
r) menyediakan sumber manusia yang profesional dalam bidang sumber air
s) menswastakan, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, mana-mana pengusahaanya mengikut peruntukan Enakmen ini
t) menyiasat sebarang kejadian, kesalahan atau kemalangan yang berlaku di atas atau berhubungan dengan suatu sumber air, dan
u) membuat apa-apa perkara lain yang didapatinya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsi-fungsinya dengan berkesan atau bersampingan pelaksanaan fungis-fungsinya.
Kesemua 21 fungsi di atas adalah panduan yang ditetapkan oleh ESAT 2020 secara am dan LAUT boleh bergerak untuk melaksanakan fungsi ini mengikut kemampuan dari sudut teknikal dan perundangan.